Di antara kualiti gaharu yang pasti akan saya minati adalah daripada jenis yang sudah matang kandungan resinnya. Ini adalah kerana saya menitikberatkan tentang kualiti aroma gaharu itu sendiri. Lebih tua umurnya, lebih hebat kualiti aromanya. Ia adalah sama seperti istilah kelapa.
Harvesting agarwood from dead matured tree
Hidup di kampung tanpa yang lain melainkan kehijauan
Minggu lepas, setelah selesai menyertai satu majlis berhampiran kampung, saya dan dua orang sahabat telah berkesempatan untuk pergi melawat seorang tua yang pernah saya kenal pada tahun 2015 dahulu atas sebab gaharu. Mereka ingin menjual beberapa batang pokok gaharu yang telah ditanam oleh arwah ayah mereka lebih daripada seratus tahun yang dahulu. Nenek tua yang sudah berumur 80 tahun lebih itu telah menyatakan bahawa pokok itu sudah besar semasa dia masih kecil lagi.
Antara pokok lain yang sudah matang
Saya yakin bahawa pokok itu ditanam adalah bertujuan sebagai menanda kawasan sempadan tanah milik mereka. Pokok yang paling besar memiliki saiz satu pemeluk lebih. Terdapat lebih daripada tujuh batang pokok kesemuanya.
Nenek tua ini berhajat untuk menjual kesemua pokok itu. Tetapi atas beberapa faktor, saya tidak dapat menunaikan hajat nenek berkenaan. Lalu, hubungan kami terputus sebegitu sahaja. Kerana sifat rindu, saya mengajak kawan saya untuk singgah di rumahnya untuk bertanya kabar.
Keadaan pokok gaharu yang paling besar pada awal tahun 2015
Sesampai kami di rumahnya, nenek berkenaan seolah terkejut kerana tidak menyangka akan kedatangan saya. Dan, walau sudah lama, dia masih dapat mengenali saya. Sesudah menyerahkan buah tangan yang kami bawa, nenek itu mula bercerita perihal pokoknya di belakang rumah. Dia memberitahu bahawa dia telah ditipu oleh seorang rakyat Cambodia yang telah menetap lama di sini. Orang itu telah menebang pokok yang paling besar dengan hanya membayar 30 ringgit sahaja. Alasannya adalah kerana pokok itu tidak mempunyai teras yang berkualiti tinggi. Tetapi, nenek menyatakan bahawa penebang itu telah membawa balik banyak bongkah-bongkah kayu.
Di antara kesan luka akibat ditakik dengan menggunakan kapak yang menyebabkan aroma wangi tersebar jauh ke tempat lain.
Semasa lawatan saya pada awal tahun 2015 dahulu, kebetulannya pokok itu telah ditakik oleh pelawat lain bagi mengenalpasti kerberadaan teras di dalam batang pokok. Jadi, nenek itu memberitahu saya bahawa ramai orang dikampung sibuk bercerita bahawa kampung mereka menjadi wangi. Dan nenek pasti akan mendengar cerita itu setiap kali pergi membeli sarapan pagi di kedai pada awal waktu pagi.
Keadaan dahan pokok gaharu yang lain yang terlihat sudah cukup sakit dan berkemungkinan besar sudah mempunyai teras gaharu.
Paling kurang, ianya sudah sangat sesuai untuk dibuat minyak.
Setelah selesai mendengar keluhan nenek, kami kemudian pergi kebelakang rumahnya bagi melihat dengan sendiri apa yang telah berlaku. Saya juga dapat melihat pokok-pokok lain masih teguh berdiri dengan saiz yang amat besar kalau dibandingkan dengan pokok buah-buahan lain yang juga berada di situ. Kelihatan, kawasan belakang rumah ini sudah tidak diuruskan lagi, dan sudah menjadi seperti hutan kecil.
Dua orang ahli forensik yang sedang cuba mencari sesuatu yang boleh dijadikan hasil ;)
Sesampainya di kawasan pokok terbesar itu, saya terlihat tunggul pokok yang setinggi pinggang sugul berdiri tanpa sempurna sifatnya. Tanpa sedar, saya merasa sedih apabila terlihat batangnya yang sudah reput setelah sekian lama rebah ke bumi. Keadaan batang yang seperti mau hancur itu sedikit sebanyak menyakitkan hati saya kerana pokok itu telah disia-siakan sebegitu sahaja. Sepatutnya ia boleh digunakan 100%. Paling tidak, ianya boleh dibuat minyak gaharu. Dan mungkin agaknya boleh dapat lebih 1 liter minyak setelah disuling. Wallahu a’lam.
Antara ranting yang diperolehi daripada pokok gaharu terbesar pada awal tahun 2015 dahulu. Kualiti sebegini sudah sangat sesuai untuk dijadikan bahan utama untuk menghasilkan minyak gaharu.
Setelah melihat kawan saya yang sudah leka memeriksa batang reput itu, saya meninjau kawasan sekitar dan mendapati terdapatnya anak-anak pokok daripada induk ini yang sudah mula membesar. Hilang segala rasa terkilan sebentar tadi. Seolah-olah telah mendapat semangat yang baru. Hehe. Terdapat lebih daripada 10 anak pokok yang telah saya perhatikan.
Antara anak pokok gaharu yang sudah mula membesar
Kemudian, saya merapati kawan saya dan kelihatan dia sedang asyik (sila rujuk gambar pertama di atas) memerika seketul kayu yang agak hitam warnanya. Saya hanya tersenyum dan terus mengikutinya bersama-sama memeriksa batang pokok itu. Sempat kawan saya menyatakan niatnya untuk membantu nenek itu dengan menjual hasil yang masih lagi terdapat pada bahagian batang pokok ini.
Setelah beberapa minit memeriksa, saya telah menemui teras yang sangat keras pada bahangian tengah batang pokok ini. Malangnya, saya tidak membawa sebarang peralatan untuk memudahkan kerja. Jadi, saya hanya menggunakan tangan sahaja untuk mencari teras yang ada.
Insha'Allah, pada kali ini, saya akan cuba yang terbaik untuk membantu Nenek dan Aki bagi menunaikan hajat mereka. Seperti yang kita sedia maklum, orang zaman sekarang (termasuklah kita sendiri) lebih seronok mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain tanpa memikirkan baik dan buruk atas setiap yang akan berlaku.